BARISAN Nasional (BN) akan memulakan rundingan dengan dua pihak pada minggu depan bagi membincangkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan berkenaan akan diwakili Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Minggu depan, ibu pejabat (UMNO) telah mengaturkan dua perjumpaan berasingan pada tarikh dan waktu yang berbeza dua kumpulan berlainan.
“Tentunya kita sebagai sebuah gabungan politik atas nama BN mahu melihat manfaat kepada negara dan khususnya kepada gabungan parti kita bagi jangka sederhana dan panjang ” katanya di Ayer Keroh, Melaka.
Beliau sebelum itu merasmikan program Musyawarah Nasional – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC)..
DI KOTA BHARU, parti komponen Perikatan Nasional (PN) boleh memilih untuk bertanding menggunakan lambang Pas pada PRN Melaka, jika gabungan itu masih digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya tiada halangan jika parti lain menggunakan logonya, tetapi Bersatu secara khusus diminta bertanding menggunakan lambang sendiri.
Tetapi, kata beliau soal penggunaan logo bukan isu besar di Melaka, sebaliknya pihaknya akan melihat kepentingan berdasarkan keadaan semasa.
“Jadi, tidak semestinya parti-parti itu (parti dalam PN) menggunakan logo sendiri. Mereka boleh menggunakan logo mana-mana parti yang menunjukkan mereka ini bersatu bersama.
“Jadi, apa salahnya kalau ada satu dalam kalangan gabungan parti ini, iaitu Pas ke, parti lain juga menggunakan logo berkenaan. Tidak menjadi kesalahan dari sudut undang-undang. Ini antara pilihan yang kita ada sekiranya PN masih digantung,” katanya di Kota Bharu.





