11 terbunuh, 18 cedera dalam serangan bom di Pakistan

SERANGAN bom terus mengancam Pakistan apabila dalam kejadian terbaru sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 18 lagi cedera dalam letupan berhampiran Aman Mela di kawasan Darazinda, Dera Ismail Khan (DIK), Khyber Pakhtunkhwa (K-P) , Pakistan, hari ini.

Ketua Polis K-P, Zulfikar Hameed, berkata letupan berlaku di sebuah pusat pemeriksaan bersama yang diwujudkan bagi operasi membanteras penyeludupan, berhampiran Darazinda Aman Mela.

Menurutnya, pasukan polis, pasukan keselamatan dan Jabatan Antikeganasan (CTD) bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

“Polis dan anggota CTD mengepung kawasan berkenaan sebelum melancarkan operasi mencari dan membersihkan lokasi. Bukti sedang dikumpulkan di tempat kejadian dan usaha dilakukan bagi menentukan jenis serta punca letupan,” katanya lapor tribune.com.pk.

Jurucakap Rescue 1122, Bilal Ahmad Faizi, berkata pasukan dari Balai Darazinda tiba tidak lama selepas menerima laporan sebelum operasi menyelamat dan bantuan kecemasan dimulakan.

Katanya, ambulans dan anggota penyelamat tambahan dari Karak dan Hangu turut dihantar bagi membantu operasi.

“Setakat ini, 18 mangsa cedera telah diberikan rawatan perubatan dan dibawa ke hospital. Mayat 11 mangsa yang terbunuh dalam letupan turut dikeluarkan dari lokasi,” katanya.

Gabenor K-P, Faisal Karim Kundi, meminta laporan daripada pegawai kanan berhubung kejadian itu.

Beliau menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu konspirasi dan mengarahkan pihak berkuasa memastikan semua mangsa cedera menerima rawatan sewajarnya.

Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, turut mengutuk kejadian itu dan menyatakan kesedihan atas kehilangan nyawa. Beliau berkata sasaran terhadap orang awam dan anggota penguat kuasa adalah sesuatu yang amat dikecam.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif pula menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka yang cedera segera pulih.

Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi, menyifatkan kejadian itu sebagai serangan bunuh diri terhadap pos polis Anti-Smuggling Aman Mela.

Beliau berkata pengorbanan anggota keselamatan dan orang awam dalam memerangi keganasan tidak akan dilupakan. Letupan terbaru itu berlaku ketika K-P berdepan peningkatan aktiviti keganasan sejak minggu lalu.

Sebelum ini, 23 orang termasuk 15 anggota polis terbunuh dalam serangan di sebuah masjid di Police Lines, Kohat, ketika solat Jumaat. Lapan anggota kumpulan bersenjata turut terbunuh dalam operasi susulan.

Kumpulan Ittihadul Mujahideen Pakistan (IMP), yang diketuai Hafiz Gul Bahadur dan berpangkalan di Afghanistan, kemudian mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Dalam kejadian berasingan di daerah Hangu, seorang kapten dan seorang leftenan antara enam anggota keselamatan yang terbunuh dalam pertempuran, manakala lapan anggota kumpulan bersenjata dilaporkan terbunuh.

Susulan siri serangan itu, Pakistan melancarkan serangan udara yang disifatkan sebagai “terukur” terhadap lokasi persembunyian kumpulan bersenjata berhampiran sempadan Afghanistan serta operasi darat berasaskan risikan.

Menurut laporan keselamatan, 37 anggota kumpulan bersenjata terbunuh dalam operasi berkenaan, manakala sistem pertahanan udara Pakistan turut menembak jatuh lapan dron yang memasuki ruang udara negara itu dari arah Afghanistan.

Pakistan kemudian melancarkan serangan udara dan dron yang disifatkan sebagai “tepat” terhadap 10 lokasi di Afghanistan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here