BEBERAPA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan tiba di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini bagi menghadiri perbincangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.
Antara yang dilihat tiba ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan serta ADUN Linggi, Datuk Faizal Ramli yang juga Exco Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Turut kelihatan ialah ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah yang juga Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Mereka dilihat tiba seawal jam 7.30 malam tadi, lapor Buletin TV3.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan BN akan mengadakan mesyuarat bersama 25 ADUN Negeri Sembilan daripada BN, Pas dan Parti Wawasan Negara di Ibu Pejabat UMNO malam ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.





