Ismail sahkan surat ditarik, tunggu menghadap Tuanku Muhriz

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan dia bersama 10 bekas Exco kerajaan negeri itu menarik balik kandungan surat yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar negeri itu.

Bagaimanapun, kedudukan 10 bekas Exco yang pelantikan mereka dibatalkan masih belum dibincangkan kerana dia belum dapat menghadap baginda.

Ismail menyifatkan penarikan balik itu sebagai salah satu usaha menyelesaikan kemelut Negeri Sembilan.

Beliau dipetik Bernama berkata, kandungan surat berkenaan sudah jelas dan tidak memerlukan penjelasan lanjut.

“Anda semua sudah baca, semua dah tular. Semua media dah banyak komen. Jadi, saya mengesahkanlah surat itu. Surat itu sudah cukup jelas dan tidak memerlukan penjelasan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini.

Surat bertarikh 10 November itu menarik balik kandungan surat persembahan maklum kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Menurut surat berkenaan, keputusan itu mengambil kira kenyataan Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan baginda.

Ismail dan 10 bekas Exco turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu supaya segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat.

Mereka menyatakan usaha penyelesaian perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan negeri serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Ditanya mengenai kedudukan 10 bekas Exco itu, Ismail berkata, dia belum dapat mengulas lanjut kerana belum dapat menghadap Tuanku Muhriz.

“Setakat ini, sebab belum dapat menghadap Tuanku, jadi tak dapat apa berita lagi. Kedudukan Exco tiada perbincangan lagi setakat ni.

“Kalau dah dapat menghadap, kita akan terima pandangan Tuanku… sekarang saya belum dapat beri komen apa-apa,” katanya.

Sepuluh bekas Exco terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Tuanku Muhriz tidak berangkat ke majlis Deepavali berkenaan.

Media sebelum ini dimaklumkan baginda dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dijadualkan berangkat ke majlis itu.

Majlis tersebut dihadiri Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi yang pelantikan mereka tidak dipertikaikan.

Menurut laporan itu, majlis berlangsung dalam suasana harmoni dengan kehadiran Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang.

Wakil rakyat BN dan PH dilihat duduk semeja, saling bertegur sapa dan bergambar bersama. Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri,  Datuk Mohd Zafir Ibrahim turut hadir.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here