PERBINCANGAN membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan berhubung kemelut politik di negeri itu yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di ibu negara selesai sekitar jam 11 malam tadi.
Bagaimanapun, beberapa ADUN yang meninggalkan lokasi mesyuarat memilih untuk mengunci mulut dan tidak memberikan sebarang kenyataan kepada petugas media yang menunggu sejak awal malam, malah ada antara mereka dilihat menggunakan laluan lain bagi mengelak ditemui pemberita.
Mesyuarat khas yang berlangsung hampir tiga jam, bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu, dipengerusikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan diadakan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut berkenaan.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kepimpinan BN berhubung hasil perbincangan berkenaan, lapor Buletin TV3.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan mengadakan mesyuarat dengan 25 ADUN Negeri Sembilan daripada BN, Pas dan Wawasan di Ibu Pejabat UMNO malam ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.





