WILAYAH Pattani sudah terlalu lama terancam, wilayah Narathiwat sudah lama bersimbah darah dan wilayah Yala sudah lama menyaksikan keganasan begitu juga di Satun dan Songkla.
Segalanya bukan kerana perbuatan Pemerintah Thailand, segalanya bukan kerana umat Islam ditindas oleh sang penguasa. Sebaliknya semua itu berlaku kerana perbuatan orang Islam sendiri yang bergabung dalam puak pemisah.
Mereka yang sebenarnya menghuru-harakan wilayah-wilayah berkenaan, mereka yang bertanggungjawab membunuh insan tidak berdosa termasuk orang Islam, mereka yang tergamak melakukan keganasan sehingga menjejaskan ketenteraman penduduk Islam dan membantutkan usaha Pemerintah Thailand mahu memajukan Selatan Thailand.
Malah dalam mencapai perjuangan sia-sia mereka,kelompok tersebut sanggup menyatakan individu yang terbunuh ketika berjuang bersama mereka adalah syahid.
Semua keganasan dan pegangan songsang mereka harus dihentikan demi masa depan penduduk Islam di Selatan Thailand. Ia tidak susah, ia tidaklah sukar jika kelompok tersebut menerima pengisytiharan Dasar (Hukum Pakat) Fatoni Darul Salam pada 7 September lalu yang disempurnakan oleh Ketua Agama Islam Thailand (Sheikhul Islam Thailand), Arun Bunchom @ Muhammad Jalaluddin Hussein di Pattani.
Pada majlis bersejarah itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 Bahagian Hadapan (yang juga Timbalan Panglima Kawasan Tentera Ke-4), Mejar Jeneral Chakrit Ucharatana.
Kehadiran beliau membuktikan kesungguhan dan sokongan Pemerintah Thailand dalam usaha membawa keamanan di Selatan Thailand. Turut sama ialah Pengerusi-pengerusi Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam 5 Wilayah Sempadan Selatan Thai (Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Wilayah Satun), Pengerusi-pengerusi Persatuan Sekolah Pondok 5 Wilayah Sempadan Selatan Thai, pemimpin agama dan wakil dari agensi berkaitan.
Sheikhul Islam Thailand telah membentangkan dasar (hukum pakat) itu yang menggariskan intipati utama bahawa wilayah selatan merupakan zon yang aman dan damai.
Melalui dasar (hukum pakat) itu, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat dan semua sektor untuk bersama-sama menjayakan sembilan perkara baik iaitu:
*Memelihara Keamanan dan Menolak Keganasan: Larangan keras terhadap sebarang bentuk penggunaan kekerasan dan komitmen untuk mengekalkan kampung sebagai zon damai.
*Kepatuhan Kepada Ajaran Islam dan Sunnah: Menjadikan syariat Islam serta akhlak para nabi sebagai panduan utama dalam penyelesaian masalah harian.
*Mengukuhkan Semangat Persaudaraan (Ukhuwah): Memupuk perpaduan dan persefahaman sesama penduduk kampung tanpa mengira latar belakang.
*Pendidikan Agama dan Warisan Pondok: Menyokong sistem pendidikan Islam dan pemeliharaan tradisi sekolah pondok sebagai benteng sahsiah belia.
*Kebajikan Sosial dan Saling Membantu (Takaful): Mewujudkan sistem sokongan komuniti untuk membantu golongan miskin, anak yatim, dan mereka yang ditimpa musibah.
*Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Kerjasama rapat antara pemimpin agama, penduduk, dan pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan sempadan kawasan kampung.
*Pemerkasaan Peranan Belia: Melibatkan golongan remaja secara aktif dalam pembangunan komuniti, pameran bakat, dan program kepimpinan masyarakat.
*Kelestarian Ekonomi dan Khairat Tempatan: Menggalakkan perniagaan yang jujur, konsep tolong-menolong dalam ekonomi setempat, serta pembangunan mampan demi masa depan generasi.
*Kepatuhan kepada Kepimpinan dan Musyawarah: Menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran perbincangan (syura) bersama pemimpin agama serta jawatankuasa kampung yang sah.
Kesembilan perkara itu amat baik dan boleh dianggap sebagai petunjuk atau garis panduan paling mantap untuk penduduk Islam di Selatan Thailand membina kehidupan lebih baik pada masa depan.
Lebih menarik ia juga mendapat perakuan atau sokongan Pemerintah Thailand dengan kehadiran Mejar Jeneral Chakrit Ucharatana.
Tetapi bagaimana dengan puak pemisah, apakah mereka akan akur kepada sembilan perkara itu? Apa yang digariskan itu bertujuan untuk mencipta keamanan dan kedamaian melalui penyelesaian mengikut ajaran Islam.
Atas sebab itulah sebelum ini Sheikhul Islam Thailand telah mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu Islam, khasnya di wilayah sempadan Selatan Thai tidak boleh memerangi pihak berkuasa Thailand atau kerajaan Thailand, selagi mereka tidak menghalang umat Islam daripada beribadah.
Penegasan itu seolah-olah tidak dihiraukan oleh puak-puak pemisah yang mengaku beragama Islam. Mereka terus melakukan keganasan demi keganasan sehingga mencetuskan kacau bilau di wilayah berkenaan.
Penulis percaya puak pemisah mungkin tidak akan menerima Dasar (Hukum Pakat) Fatoni Darul Salam dan menolak penegasan terbaru Sheikhul Islam Thailand. Tetapi persoalannya adakah ia akan memberi keuntungan kepada mereka?
Sudah pasti tidak, sebaliknya ia akan membuktikan bahawa puak pemisah bukan berjuang untuk kepentingan umat Islam apatah lagi agama Islam sebaliknya hanya memperjuangkan kepentingan peribadi serta agenda songsang mereka.
Bagi penulis sembilan perkara itu sudah cukup lengkap apabila dimulai dengan Memelihara Keamanan dan Menolak Keganasan. Ia memandangkan inilah punca kenapa Selatan Thailand tidak pernah apa-apa.
Apabila keamanan dipelihara dan keganasan ditolak sudah pastilah ia membuka jalan kepada kedamaian. Apabila kedamaian terbentuk barulah pembangunan dapat dilaksanakan dan seterusnya membolehkan penduduk Islam meneruskan menikmati kemajuan serta menjalani kehidupan masa depan yang lebih cerah.
Justeru puak pemisah harus bersikap terbuka untuk menerima dasar yang dibentangkan Sheikhul Islam Thailand tersebut. Jika mereka ikhlas berjuang untuk penduduk Islam, mereka perlu menjadikan ia sebagai panduan bagi membuat tuntutan kepada Pemerintah Thailand demi kebaikan umat Islam dan agama Islam.
Kalau itulah tidak dilakukan dan mereka menolak bulat-bulat dasar berkenaan terbuktilah mereka bukanlah pejuang sebaliknya pengganas yang dilayak dilayan seperti pengganas mengikut undang-undang Thailand dan antarabangsa.





