SEGALA keputusan berhubung kemelut hubungan antara UMNO dan DAP, termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen, diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Anwar mempunyai kuasa untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil susulan perbezaan pendirian antara parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Pokoknya segala-galanya terserah pada Perdana Menteri, dia nak bubar ke, dia nak pecat ke, dia nak gantung ke, dia nak apa ke, semuanya pada dia,” katanya ketika diminta mengulas empat pilihan dikemukakan UMNO bagi menangani kemelut hubungan dengan DAP.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Sekolah Kebangsaan Panchor di Kota Tinggi hari ini, lapor BH.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain pembubaran Parlimen, tiga pilihan lain adalah mendapatkan pengantara menerusi majlis perundingan, membenarkan aturan sedia ada diteruskan atau mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan.
Mengulas perkembangan politik semasa, Mohamed Khaled berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik negara berkemungkinan berubah dan menjadi lebih kompleks pada masa hadapan.
Katanya, situasi sesebuah parti bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi mempunyai pendekatan politik berbeza di peringkat negeri mungkin menjadi kebiasaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama antara UMNO dan Pas tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menolak penyertaan kaum atau parti lain.
Sebaliknya, katanya, kerjasama dalam kalangan orang Melayu juga merupakan sesuatu yang baik dan tidak menghalang parti lain untuk menyertainya.
“Kerjasama UMNO dengan Pas itu tidak menolak kaum lain. Kalau mereka nak sertai, mereka boleh sertai dan memang banyak yang sertai seperti MCA, MIC dan Gerakan.
“Jadi, mana UMNO dan Pas menolak kerjasama atau tidak menerima kaum lain?,” katanya.
Ketegangan antara UMNO dan DAP tercetus susulan perbezaan pendirian berhubung isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.





