Lima tahun dekat di hati kariah, jemaah Masjid As-Syarif iringi jenazah Dr Siti Hasmah

HUBUNGAN Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dengan Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di Seri Kembangan, bukan sekadar sebagai jemaah, sebaliknya beliau dikenali sebagai antara kariah yang dekat dengan warga masjid sejak kira-kira lima tahun lalu.

Imam Tiga Masjid As-Syarif, Dzulhayah Wahab berkata, Allahyarham sering meluangkan masa menghadiri pelbagai program anjuran masjid termasuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, arwah kerap menghadiri program kami, termasuk majlis berbuka puasa serta solat tarawih, jadi beliau rapat dengan AJK (Ahli Jawatankuasa) masjid.

“Beliau sudah seperti kawan yang mesra kepada kami. Mungkin sebab itu masjid ini dipilih untuk diadakan solat jenazahnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan semalam, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid As-Syarif, Mohamad Reduan Mohamad Daud berkata, pihak masjid berusaha melaksanakan sebaik mungkin tanggungjawab fardu kifayah terhadap jenazah Allahyarham sebagai sebahagian daripada kariah mereka.

“Beliau selaku ahli kariah di masjid ini, jadi kami cuba buat yang terbaik. Sekiranya ada kekurangan daripada pihak masjid, kami minta maaf.

“Sejujurnya, kita tidak meletakkan sebarang harapan daripada orang ramai apabila masjid ini menjadi tumpuan.

“Niat kami ikhlas menyelesaikan urusan jenazah beliau selaku kariah masjid,” katanya.

Mohamad Reduan berkata, kehadiran orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham semalam jauh melebihi jangkaan pihak masjid.

Menurutnya, lebih 2,000 orang dianggarkan hadir, termasuk yang menyertai solat jenazah Allahyarham.

“Kita tahu beliau bukan calang-calang orang, boleh dikatakan sebagai ‘ibunda’ negara. Rasanya ramai lagi yang mahu hadir, namun disebabkan kekangan masa serta tempat ini yang sempit mungkin mengehadkan pergerakan.

“Namun, jumlah yang hadir pun sudah dikira ramai. Ia (jumlah kehadiran yang ramai) rezeki buat beliau,” katanya.

Solat jenazah Allahyarham selesai kira-kira jam 5.15 petang sebelum jenazah dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya untuk istiadat pengebumian.

Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi semalam pada usia 100 tahun.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here