DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik keputusan pelaburan Petronas bersama rakan usaha sama bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia yang membuka laluan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, perkembangan itu turut memperkukuh kedudukan LNG Canada sebagai antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, selain meningkatkan bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira dari Kanada apabila Petronas bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
“Keputusan ini membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion. Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa,” katanya dalam hantaran itu.
Anwar turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga Petronas atas kejayaan memuktamadkan projek tenaga berskala besar berkenaan bersama rakan antarabangsa.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran serta keupayaan syarikat negara dalam menerokai dan menjayakan projek tenaga berskala besar di peringkat global.
“Penghargaan saya kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada Petronas. Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya.





