BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan dana syarikat berjumlah RM37.4 juta.
Azlizan Fadzil didakwa menyalahgunakan wang berkenaan, yang sepatutnya digunakan untuk pelaburan dalam pembangunan projek penjanaan tenaga solar fotovolta berskala besar berkapasiti 50MW di Pahang.
Sebaliknya, dana itu didakwa digunakan untuk tujuan lain. Azlizan didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari hingga Oktober 2017.
Dakwan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan Azlizan diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin serta memerintahkan beliau menyerahkan pasportnya. Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Nov.
Azlizan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How hadir bagi pihak pendakwaan.





