KPDN turun padang siasat dakwaan kenderaan rosak selepas isi minyak di Batu Kawan

DAKWAAN beberapa pengguna mengalami masalah kenderaan selepas mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di Batu Kawan mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.

Susulan dakwaan yang tular dalam media sosial, KPDN negeri telah menghantar sepasukan pegawai ke lokasi terbabit bagi menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian.

Jurucakap KPDN Pulau Pinang berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkongsian berkenaan dan sedang meneliti dakwaan itu sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

Sebelum ini, beberapa pengguna menerusi platform Threads mendakwa, kenderaan mereka mengalami masalah untuk dihidupkan selepas selesai mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di negeri ini.

Perkongsian berkenaan turut mengundang perhatian pengguna lain apabila ada yang memberi peringatan supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika mengisi minyak di beberapa lokasi di bahagian utara, khususnya di Pulau Pinang.

Berdasarkan beberapa perkongsian yang dibuat, pengguna mendakwa kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum mengisi bahan api, namun mengalami masalah sejurus selepas meninggalkan stesen berkenaan.

Keadaan itu kemudian mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan pengguna media sosial mengenai kemungkinan berlaku masalah pada bahan api yang dibekalkan.

Antara dakwaan yang timbul adalah kemungkinan bahan api tercemar atau bercampur dengan air sehingga menyebabkan enjin kenderaan gagal dihidupkan seperti biasa.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih belum dapat disahkan dan punca sebenar masalah yang dialami pengguna belum dikenal pasti.

Justeru, siasatan KPDN diperlukan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang isu berkaitan bekalan bahan api di stesen terbabit atau masalah berkenaan berpunca daripada faktor lain.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan awal berdasarkan perkongsian di media sosial sehingga hasil pemeriksaan dan siasatan pihak berkuasa diperoleh.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan bahawa kerosakan kenderaan berkenaan berpunca daripada bahan api yang tercemar.

KPDN dijangka meneliti maklumat serta keadaan di lokasi sebelum mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here