KPDN KL rampas 2,650 unit barangan tiruan lebih RM2.3 juta di Jalan Petaling

BAHAGIAN Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas sejumlah 2,650 unit barangan tiruan bernilai kira-kira RM2.3 juta selepas menyerbu premis jualan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur semalam.

Dalam serbuan Ops Putra 8.0 itu, KPDN turut membongkar taktik penjual yang menyimpan stok barangan tiruan di belakang premis-premis yang tidak beroperasi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya melakukan risikan bagi mengenal pasti stor penyimpanan barangan tiruan yang digunakan peniaga di kawasan terbabit.

“Peniaga dipercayai menyimpan stok barangan tiruan di stor-stor yang agak tersorok sekitar Jalan Petaling iaitu di belakang premis yang tidak beroperasi bagi mengelak lokasi berkenaan dikesan pihak berkuasa.

“Barangan tersebut kemudian dijual kepada pelancong yang datang ke kawasan Jalan Petaling dengan harga yang agak tinggi mengikut jenis dan jenama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara barangan yang dirampas ialah beg tangan, jam tangan, tali pinggang dan kasut berjenama tiruan.

Katanya, harga jualan bagi beg tangan berjenama tiruan dianggarkan antara RM200 hingga RM500 seunit.

“Jam tangan berjenama pula dijual antara RM500 hingga RM5,000, manakala tali pinggang antara RM100 hingga RM300. Kasut berjenama tiruan pula dijual pada harga sekitar RM150 hingga RM300 seunit,” tambah beliau.

Mohd Shahran berkata, kesemua rampasan kes ini disiasat di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Putra dari tahun 2023 hingga 2026, jumlah rampasan keseluruhan direkodkan sebanyak RM5.7 juta membabitkan 32,200 unit barangan tiruan.

Tambahnya, seramai 10 individu turut ditahan dalam tempoh operasi berkenaan dijalankan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img