SEORANG pengarah syarikat wanita ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah berjumlah RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani, Kedah yang terbengkalai.
Difahamkan, jutaan unit saham di bawah nama suspek turut dibekukan.
Suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Kuala Lumpur, jam 3 petang hari ini.
Difahamkan, mangsa berusia 57 tahun yang juga pemegang saham utama syarikat telah membuat laporan polis berkaitan urusan pembelian saham syarikat sekitar April hingga Jun 2024, lapor Buletin TV3.
Tujuan pembelian saham itu adalah untuk pemilikan bersama syarikat-syarikat yang terlibat ke atas tanah di Kedah yang dikatakan akan dibina litar perlumbaan.
Mangsa telah membuat pembayaran RM40 juta bagi tujuan pembelian saham dan mendapatkan tanah tersebut.
Sebaliknya, suspek selaku pengarah syarikat menggunakan wang pembayaran untuk tujuan lain sehingga menyebabkan hak milik tanah tidak dapat dipindahkan mengikut perjanjian asal.
Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembinaan projek Llitar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bernilai RM75 juta mungkin melibatkan unsur penyelewengan.
Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan lanjut bakal diambil ke atas pihak terbabit.





