Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya tempat ketiga , tewaskan Vietnam di Jakarta

MALAYSIA menamatkan penantian 12 tahun untuk menewaskan Vietnam selepas mencatat kemenangan 1-0 pada aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

Pemain gantian Fergus Tierney muncul wira Harimau Malaya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-62, sekali gus memastikan skuad kendalian Ketua Jurulatih sementara Tan Cheng Hoe menamatkan kempen di tempat ketiga.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Malaysia yang kali terakhir menewaskan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014.

Pada perlawanan hari ini, Cheng Hoe melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama dengan merehatkan tonggak pertahanan Brad Tapp dan pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi, manakala kapten Dion Cools tidak dapat diturunkan selepas meninggalkan kem kebangsaan atas urusan keluarga.

Vietnam tampil lebih mengancam pada babak pertama dengan beberapa kali menguji benteng negara menerusi gerakan serangan dan hantaran lintang tinggi yang memaksa barisan pertahanan serta penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi bekerja keras.

Bagaimanapun, Malaysia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila penyerang naturalisasi Bergson da Silva melakukan gerakan menarik melepasi seorang pertahanan Vietnam, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Patrik Le Giang.

Empat minit kemudian, skuad kendalian Kim Sang-sik membalas menerusi sepakan percuma jarak dekat Nguyen Hai Long, namun percubaannya mudah didakap Syihan.

Pada masa kecederaan babak pertama, Ngo Dang Khoa mencuba nasib dari luar kotak penalti, tetapi rembatannya sekadar tersasar tipis di sebelah kanan gawang Malaysia.

Vietnam meneruskan tekanan selepas permainan bersambung apabila Williams Minh Hoang melepaskan rembatan rendah pada minit ke-57, namun bola sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here