Isu keselamatan sekolah: Apa tindakan kita?

 

Oleh Dr Anuar Ahmad

KITA berdukacita dengan apa yang berlaku di sebuah sekolah di Yong Peng dan juga beberapa peristiwa sebelumnya melibatkan sekolah serta isu keselamatan sekolah.

Hari ini kita lihat bagaimana masyarakat secara keseluruhannya memohon dan mendesak supaya isu keselamatan sekolah segera diberikan perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saya percaya KPM sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang. Didoakan usaha tersebut diberikan kejayaan dan berharap kita  tidak lagi perlu melalui ataupun menerima berita-berita sebegini pada masa depan.

Kita ucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat dan kita doakan semoga roh arwah (Alllahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal) ditempatkan bersama mereka yang beramal soleh.

Apabila kita bercakap soal keselamatan sekolah, banyak perkara yang telah dibincangkan, bukan sahaja hari ini tetapi  sejak sekian lama.

Antara perbincangan itu termasuklah soal keselamatan sekolah, CCTV, keadaan kawasan sekolah, koridor ataupun bilik-bilik tersembunyi atau ruang-ruang yang boleh mendorong berlakunya kes  buli dan sebagainya.

Satu lagi perkara yang turut menjadi isu ialah keselamatan psikologi. Jika melihat apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapati kebanyakan kes berlaku dalam kalangan warga sekolah. Maksudnya, pelaku dan juga mangsa adalah warga sekolah.

Sama ada kes di Bandar Utama, di Sabah, di Johor dan sebagainya, kita mendapati ia berlaku di dalam sekolah. Kalau kita perincikan, ia berkaitan budaya dan bagaimana sekolah itu diuruskan.

Kita perlu mengenal pasti pola-pola atau pattern, bagi mengetahui apa  sebenarnya sedang berlaku?

Apakah sekolah kita secara fizikalnya tidak selamat? Adakah kawalan keselamatan  lemah, CCTV tidak mencukupi atau sebenarnya  yang mendasari masalah ini bukanlah isu keselamatan tetapi isu kesihatan mental? Kalau kita meneliti kes-kes  yang berlaku, akhirnya kita akan menjurus ke arah itu.

Pada tahun 2023, kita diberikan data oleh Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  mengenai statistik kesihatan mental di Malaysia.

Kalau boleh saya kongsikan beberapa maklumat yang ringkas tetapi besar maknanya kepada kita.

Yang pertama, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh institut itu menunjukkan bilangan penduduk Malaysia yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari tahun 2019 sehingga tahun 2023.

Maksudnya, dalam tempoh tiga hingga empat tahun, peningkatan kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia meningkat sebanyak dua kali ganda.

Ini satu isu sangat besar. Mungkin sebahagiannya disebabkan Covid-19, tetapi peningkatan tersebut menunjukkan impaknya pasti akan berlanjutan agak lama. Kajian itu juga menunjukkan  individu daripada golongan muda lebih mudah mengalami kemurungan.

Salah satu isu kesihatan mental adalah kemurungan. Maksudnya, golongan muda, remaja adalah kumpulan yang mudah terdedah atau berhadapan  isu berkenaan. Data penyelidikan kesihatan juga menunjukkan terdapat sejuta orang ataupun 4.6 peratus penduduk di negara ini yang berumur 16 tahun ke atas sedang mengalami kemurungan.

Apa  yang membimbangkan kita ialah apabila didapati hampir atau sejumlah 16.5 peratus masalah kesihatan mental adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 15 tahun. Data-data ini jelas menunjukkan kesihatan mental dalam kalangan anak-anak muda dan remaja berada dalam keadaan sangat  kritikal.

Apabila berlaku kes-kes dalam sekolah seperti buli, pembunuhan, pergaduhan dan  sebagainya, kita dapat kaitkan bahawa sebahagian besar dipengaruhi oleh isu kesihatan mental. Anak-anak kita kini berada dalam persekitaran  berbeza berbanding kita dahulu.

Mereka terdedah kepada pelbagai media sosial. Melihat pelbagai perkara yang baik dan  tidak baik, menerima pelbagai maklumat yang kadang-kadang benar dan kadang-kadang palsu. Ia akhirnya  mengubah cara fikir dan tingkah laku mereka kerana banyak berinteraksi dengan media sosial sehingga  mereka tidak sedar apakah implikasinya.

Kalau mahu mendalami isu yang sedang berlaku sebagai kesihatan mental,  saya percaya ia menjadi salah satu sebab utama bertambahnya kes berkaitan keselamatan sekolah. Justeru kita harus kembali meneliti isu kesihatan mental anak-anak.

Kita harus segera mewujudkan profil anak-anak. Kita harus mengenal pasti kumpulan anak-anak mana yang sedang berhadapan dengan isu kesihatan mental, kumpulan mana yang berisiko berhadapan masalah itu, apakah intervensi yang patut kita lakukan segera dan apakah penambahbaikan kepada kandungan untuk kita membantu kaunselor-kaunselor supaya mereka dapat menangani anak-anak yang mempunyai masalah tersebut.

Selain itu, turut harus difikirkan, bagaimana sekolah dapat berinteraksi segera dengan ibu bapa apabila mengenal pasti anak-anak yang berisiko berhadapan dengan masalah kesihatan mental atau sedang mengalami masalah berkenaan dan mungkin ada yang sedang berada dalam keadaan  kritikal. Kedua-dua pihak perlu duduk dan berbincang serta menyelesaikan perkara itu.

Saya percaya ini bukan lagi soal melaksanakan dasar di peringkat kementerian. Ini bukan lagi untuk mewujudkan SOP baharu, ini bukan lagi untuk mengeluarkan surat kuasa baharu, melantik jawatankuasa baharu dan sebagainya.

Sebaliknya, ini memerlukan tindakan segera untuk memberi fokus kepada anak-anak kita yang sedang berhadapan isu kesihatan mental. Anak-anak mesti dididik untuk berani bersuara. Anak-anak juga perlu dididik untuk berani mencari siapakah yang perlu ditemui untuk menyelesaikan masalah mereka.

Di sinilah pentingnya peranan kaunselor. Di sinilah pentingnya guru-guru pembimbing. Di sinilah pentingnya sekolah-sekolah yang mempunyai pengetua dan guru besar yang memberikan kepentingan kepada isu-isu kesihatan mental anak-anak kita. Tidak semua anak-anak di rumah itu berada dalam keluarga yang baik.

Ada dalam kalangan anak-anak kita, murid-murid kita berada dalam keluarga yang tidak begitu baik. Ada keluarga yang tidak harmoni, ada keluarga yang porak-peranda. Oleh itu sebahagian tanggungjawab sekolah adalah membantu anak-anak yang sedang berada dalam situasi yang tidak menyokong mereka untuk mempunyai mental sihat.

Fokus kita  hari ini bukan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi kita memerlukan tindakan,khususnya untuk mengenal pasti, melaksanakan program intervensi, memiliki kaunselor yang cekap dan mahir serta guru-guru yang ada asas berkaitan kaunseling. Ia bagi membantu anak-anak yang didapati mempunyai isu kesihatan mental ataupun yang  berisiko berhadapan dengan masalah itu. Banyak indikator yang boleh kita gunakan untuk meneliti perkara ini.

Antara adakah mereka ponteng sekolah? Apakah pencapaian akademik mereka merosot? Adakah apabila tiba di sekolah mereka menjadi pemalu, mengurung diri, tidak begitu minat dengan aktiviti, mungkin panas baran atau hilang tumpuan dalam kelas? Ini contoh-contoh bagaimana kita boleh mengenal pasti adakah anak-anak sedang berhadapan dengan isu kesihatan mental atau tidak.

Oleh itu sebelum sesuatu yang buruk berlaku, maka kita perlu mengenal pasti mereka, memanggil, mendengar apa pandangan dan suara mereka dan dari situ kita boleh melakukan pelbagai usaha untuk intervensi supaya tragedi yang menyedihkan tidak berlaku lagi di sekolah kita.

*Dr. Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here