Pelajar maut, rakan cedera nahas dua motosikal di Sungai Buaya

SEORANG pelajar lelaki maut manakala rakannya cedera selepas dua motosikal terbabit kemalangan di Jalan Sungai Buaya di Hulu Selangor petang semalam.

Kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku ketika kedua-dua pelajar terbabit dipercayai dalam perjalanan dari sekolah menuju ke Loji Bandar Sungai Buaya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 3.22 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang berada di lorong kanan dipercayai membuat pusingan U.

“Penunggang sebuah lagi motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum merempuh motosikal berkenaan,” katanya ketika dihubungi malam tadi, lapor BH.

Manimaran berkata, perlanggaran itu menyebabkan seorang daripada pelajar berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi pelajar mengalami kecederaan patah tangan kanan dan dibawa ahli keluarganya ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Manimaran turut meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here