SEBANYAK 32 orang maut selepas sebuah pesawat Tentera Udara Nigeria terhempas ketika dalam penerbangan dari Benin City menuju Lagos, semalam.
Pesawat yang membawa 25 penumpang dan tujuh kru itu dilaporkan terhempas di Igbokoda, negeri Ondo, kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan, berhampiran sebuah pangkalan tentera laut.
Pejabat Presiden Nigeria dalam kenyataan memaklumkan Presiden, Bola Tinubu turut mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas berkenaan.
“Ini adalah saat yang menyakitkan bagi angkatan tentera dan seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Susulan tragedi tersebut, Tinubu mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara sebagai penghormatan kepada mangsa yang terkorban.
Jurucakap Presiden, Bayo Onanuga berkata, bendera negara akan dikibarkan separuh tiang di seluruh Nigeria sepanjang tempoh berkabung berkenaan.
Menurut pejabat Presiden, identiti mangsa hanya akan diumumkan oleh Tentera Udara Nigeria selepas semua ahli keluarga mereka dimaklumkan.
Sementara itu, Menteri Penerbangan Nigeria, Festus Keyamo turut mengesahkan pesawat berkenaan terhempas berhampiran pangkalan tentera laut.
Pesawat yang dikenal pasti sebagai ATR-42 itu merupakan pesawat turboprop enjin berkembar yang mempunyai kapasiti antara 30 hingga 50 penumpang.
Jurucakap Tentera Udara Nigeria, Ehimen Ejodame berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa serta agensi kecemasan berkaitan.
Polis turut mengesahkan kejadian berkenaan, namun belum memberikan butiran lanjut.
Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan penduduk berkumpul berhampiran kawasan sungai, manakala pasukan penyelamat dilihat menggunakan bot bagi menjalankan operasi mencari mangsa.
Seorang penduduk setempat, Dayo Akinte, 39, berkata, dia terdengar bunyi kuat yang disangkanya guruh ketika pesawat berkenaan dipercayai terhempas.
Katanya, penduduk yang berada di kawasan paya untuk menangkap ikan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pangkalan tentera laut berhampiran serta penduduk setempat.
Igbokoda terletak di Ilaje, sebuah kawasan pengeluaran minyak di selatan Nigeria.
Nahas itu dilaporkan antara tragedi udara paling buruk di Nigeria, yang merupakan negara paling ramai penduduk di benua Afrika, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.





