Komunikasi kerajaan: Mana pergi UKK kementerian-kementerian?

KERAJAAN MADANI mempunyai 27 kementerian, oleh itu apabila kita memperkatakan penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat, sudah tiba masanya kita melihat isu ini secara lebih adil dan menyeluruh.

Selama ini apabila sesuatu inisiatif kerajaan tidak sampai kepada pengguna media sosial yang akan menjadi sasaran dipersalahkan ialah Kementerian Komunikasi atau lebih tepat lagi Menterinya Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Faktanya, setiap kementerian ada Unit Komunikasi Korporat (UKK). Setiap Menteri juga mempunyai Setiausaha Akhbar dan pasukan komunikasi masing-masing. Mereka bukan diwujudkan sekadar untuk mengurus jadual, kenyataan media atau program rasmi Menteri, tetapi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dasar, inisiatif dan pencapaian kementerian masing-masing diketahui oleh rakyat.

Apabila kementerian melancarkan sesuatu inisiatif, kementerian berkenaanlah yang paling mengetahui butirannya. Mereka tahu siapa sasaran program, apa manfaatnya, bagaimana inisiatif tersebut boleh dimohon dan di mana rakyat boleh mendapatkan maklumat lanjut.

Jadi, kenapa apabila maklumat itu tidak sampai kepada masyarakat, semuanya mahu diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri Komunikasi? Kita juga perlu memahami bahawa Kementerian Komunikasi sendiri mempunyai pelbagai jabatan dan agensi yang perlu diberikan perhatian. Tanggungjawab mereka bukan semata-mata menjadi “papan iklan” kepada semua kementerian lain.

Kalau setiap kementerian mengharapkan Kementerian Komunikasi untuk menguar-uarkan semua perkara bagi pihak mereka, maka timbul satu persoalan yang mudah: Mengapa setiap kementerian masih mempunyai UKK, mengapa Menteri masih memerlukan Setiausaha Akhbar dan peruntukan komunikasi masing-masing?

Sekiranya semua komunikasi kerajaan mahu diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, lebih baik sahaja semua peruntukan komunikasi kementerian disatukan dan diberikan kepada Kementerian Komunikasi untuk menguruskannya. Tetapi hakikatnya, struktur kerajaan bukan begitu.

Setiap kementerian mempunyai fungsi dan tanggungjawab masing-masing. Maka setiap kementerian juga perlu memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat berkaitan bidang kuasa mereka.

Memang lumrah manusia lebih mudah untuk mencari seorang individu untuk dipersalahkan. Tidak cukup viral? Salah Menteri Komunikasi. Tidak masuk TikTok? Salah Menteri Komunikasi. Rakyat tidak tahu sesuatu inisiatif? Salah Menteri Komunikasi.Tetapi jarang kita bertanya: Adakah kementerian yang memiliki inisiatif itu sendiri sudah melakukan komunikasi yang sewajarnya?

Sudahkah UKK kementerian tersebut mengeluarkan kenyataan? Sudahkah media diberikan maklumat lengkap? Sudahkah kandungan penerangan dibuat dalam bentuk yang mudah difahami? Sudahkah Setiausaha Akhbar Menteri memainkan peranan? Sudahkah platform media sosial kementerian digunakan secara optimum?

Paling penting, sudahkah kementerian sendiri berusaha memastikan rakyat tahu tentang inisiatif yang mereka tawarkan? Kalau semua itu tidak dilakukan, tidak adil untuk kemudian menuding jari kepada Menteri Komunikasi.

Rakyat perlu ada tanggungjawab cari maklumat sahih

Dalam era media sosial, komunikasi bukan lagi jalan sehala. Kerajaan mempunyai tanggungjawab menyampaikan maklumat yang tepat dan mudah dicapai. Tetapi pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.

Kita tidak boleh membina budaya di mana rakyat hanya mahu mengetahui sesuatu apabila ia muncul di For You Page(FYP) masing-masing. Kalau sesuatu maklumat tidak muncul di FYP, bukan bermakna kerajaan menyembunyikannya.

Ada laman rasmi kementerian. Ada media sosial rasmi. Ada kenyataan media. Ada portal agensi. Ada saluran komunikasi Menteri dan kementerian. Masalahnya, ada sebahagian pengguna yang tidak pernah cuba mencari maklumat daripada sumber rasmi, tetapi apabila tidak menemui kandungan tersebut di media sosial peribadi mereka, terus membuat kesimpulan bahawa kerajaan gagal berkomunikasi.

Lebih membimbangkan apabila kekurangan maklumat itu kemudian dijadikan alasan untuk membuat tuduhan, fitnah dan naratif yang tidak berasas. Kita tidak mengatakan Kementerian Komunikasi tidak mempunyai peranan. Sudah tentu kementerian itu mempunyai tanggungjawab besar dalam ekosistem komunikasi kerajaan tetapi tak kanlah kementerian lain yang beri gerai percuma, Kementerian Komunikasi juga yang disalahkan?

Justeru  komunikasi kerajaan tidak sepatutnya difahami sebagai tanggungjawab satu kementerian sahaja. Kementerian yang melaksanakan sesuatu dasar perlu menerangkan dasar itu. Kementerian yang menawarkan sesuatu bantuan perlu menerangkan cara mendapatkannya.

Kementerian yang memperkenalkan sesuatu inisiatif perlu memastikan rakyat memahami manfaat dan mekanismenya. Kritikan terhadap kerajaan adalah perkara biasa dalam demokrasi. Malah kritikan yang membina memang diperlukan. Tetapi kritikan mesti datang bersama pemahaman terhadap struktur dan tanggungjawab sebenar. Kalau kementerian sendiri tidak menguar-uarkan inisiatif mereka, jangan salahkan kementerian lain kerana rakyat tidak tahu.

Kesimpulannya dalam memastikan maklumat kerajaan sampai kepada rakyat dengan tepat, semua pihak yang terlibat dalam komunikasi di kementerian-kementerian harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.  Sebagai pemerhati komunikasi penulis percaya mereka boleh melakukannya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here