SEORANG juruterbang bersama tiga individu lain ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi di sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang hari ini.
Keempat-empat mereka dipercayai ditahan berkaitan siasatan cubaan penyeludupan sejumlah 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine yang sebelum ini digagalkan pihak berkuasa Laos.
Operasi itu dijalankan ketika sebuah pesawat dijadualkan berlepas dari Subang menuju ke Manila, Filipina. Ketika serbuan itu, juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru wanita dipercayai sedang membuat persiapan sebelum memulakan penerbangan.
Sumber memaklumkan, juruterbang berkenaan memiliki sebuah syarikat yang mempunyai dua pesawat, termasuk pesawat yang ditahan hari ini dan sebuah lagi jet peribadi yang dikaitkan dengan kes rampasan dadah di Laos.
Operasi bersama itu membabitkan anggota dan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Daerah Petaling Jaya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), petugas keselamatan penerbangan (AVSEC) serta Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO), lapor NST.
Beberapa kenderaan tanpa tanda pengenalan dilihat memasuki kawasan hangar berkenaan lewat pagi tadi, sebelum beberapa lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman dan bersenjata masuk ke dalam premis tersebut.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal turut dilihat memasuki kawasan hangar berkenaan.
Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan tindakan penguat kuasa dilakukan sebelum pesawat berkenaan sempat berlepas.
“Keempat-empat mereka ditahan sebagai sebahagian operasi bersama dan akan ditahan oleh JSJN untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurut sumber, pesawat berkenaan dikonfigurasikan untuk tujuan pemindahan perubatan dan dilengkapi peralatan berkaitan.
Penerbangan itu difahamkan dijadualkan ke Manila bagi mengambil seorang pesakit sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun, manakala dua kru wanita yang ditahan dipercayai merupakan petugas perubatan.
Kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan rampasan 521kg dadah crystal methamphetamine di Luang Prabang, Laos pada 1 Oktober lalu yang menyaksikan 13 individu ditahan pihak berkuasa negara itu, termasuk seorang warga Malaysia yang merupakan pegawai kedua.
Siasatan awal mendapati jet peribadi yang dikaitkan dengan kes berkenaan sebelum ini berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju Luang Prabang tanpa membawa kargo.
Pesawat itu dipercayai digunakan dalam cubaan membawa penghantaran dadah dalam jumlah besar dari Laos ke Filipina.





