SEORANG pemandu lori maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di hadapan pusat perniagaan Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Mohamad Nasir Abdul Halim, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke sebuah padang kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk bermain sepak takraw bersama rakan sebelum terbabit dalam kemalangan itu, lapor Buletin TV3.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari pusat perniagaan berkenaan sebelum membelok ke kanan.
Akibat rempuhan, pintu sebelah pemandu kereta terbabit kemik teruk, manakala pemandunya, lelaki warga emas berusia 65 tahun, mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat terkena serpihan kaca.
Isteri mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian bergegas ke lokasi untuk mengecam mayat suaminya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.





