BEKAS Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) Datuk Seri Nazir Hussin Athar Hussin menegaskan dana pelaburan RM10 juta milik yayasan itu tidak hilang atau dicuri sepertimana dipersoalkan oleh banyak pihak.
Nazir Hussin yang dibebaskan daripada tahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama abangnya Datuk Wira Mubarak Hussin Akhtar Hussin menegaskan, sebaliknya YBR meraih keuntungan RM1.8 juta sepanjang tempoh pelaburan.
Beliau membuat penegasan itu, pada sidang media khas di Kuala Lumpur yang turut dijadikan platform bukan sahaja untuk menjelaskan mengenai dana berkenaan tetapi juga apa yang berlaku sepanjang beliau dan abangnya ditahan reman.
Nazir Hussin ditahan reman selama lima hari bermula 1 Oktober 2026 dan tamat pada 5 Oktober 2026, dengan lanjutan dua hari manakala Mubarak direman 5 hari mulai 1 Oktober.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Saya, Datuk Seri Nazir Hussin, tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini. Saya merasakan penting untuk saya sendiri menjelaskan keadaan sebenar berdasarkan fakta agar tidak timbul kekeliruan atau persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat.
Pertama, saya ingin menegaskan bahawa Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku.
YBR telah membuat pelaburan sebanyak RM10 juta dan pelaburan tersebut dibuat berdasarkan prinsip good governance, due diligence serta tatakelola yang sewajarnya.
Lebih penting, modal pelaburan berkenaan telah diperoleh semula sepenuhnya, malah YBR turut menerima pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta daripada pelaburan tersebut.
Pulangan hibah berkenaan dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sepanjang tempoh pelaburan. Bagaimanapun, YBR telah menamatkan pelaburan tersebut pada November 2022.
Isu syarikat dan hubungan dengan abang saya
Antara perkara yang dipersoalkan terhadap saya ialah dakwaan bahawa saya telah menyalahgunakan kedudukan dengan membuat pelaburan menggunakan syarikat milik abang saya.
Dakwaan tersebut, termasuk yang dinyatakan dalam permohonan reman yang dibacakan di hadapan Majistret, adalah tidak tepat dan saya melihatnya sebagai satu kesilapan besar yang boleh menimbulkan persepsi yang salah terhadap saya. Untuk penjelasan, syarikat berkenaan bukan milik abang saya.
Sebaliknya, abang saya hanya menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat tersebut selepas YBR membuat pelaburan. Transaksi yang melibatkan abang saya dalam syarikat berkenaan hanya bermula pada tahun 2021 dan beliau masih merupakan salah seorang pelabur sehingga kini.
Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya.

Penggeledahan dan penyitaan
Pada 30 September 2026, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke kediaman saya pada kira-kira jam 6.30 pagi dan berada di situ sehingga 6.30 petang.
Rumah saya telah digeledah dan kemudiannya beberapa kenderaan termasuk kereta serta motosikal telah disita atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.
Saya ingin menegaskan bahawa saya mempertikaikan tindakan dan cara penyitaan tersebut yang pada pandangan saya merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Untuk rekod, kertas siasatan berkaitan isu ini pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu. Pihak SPRM telah menjalankan siasatan dan pada ketika itu, saya difahamkan tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada tahun 2022.
Saya juga ingin membangkitkan tindakan SPRM memuat naik kandungan berlatarbelakangkan lagu bertemakan ‘penyamun’, sedangkan pada ketika itu siasatan masih berjalan dan belum ada sebarang pertuduhan terhadap saya. Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa.
Reman tujuh hari
Sepanjang tempoh reman selama tujuh hari, saya ingin menjelaskan bahawa hanya satu hari sahaja saya disoal siasat berkaitan isu YBR.
Selebihnya, saya mendakwa terdapat pelbagai soalan berkaitan politik yang pada pandangan saya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utama saya ditahan dan disoal siasat berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR.
Saya juga ingin menegaskan bahawa penyitaan kereta dan motosikal saya tidak mempunyai kaitan dengan alasan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta milik YBR tersebut.
Keadaan ini menimbulkan persoalan kepada saya sama ada pihak SPRM sedang cuba mencari alasan atau asas lain untuk membolehkan saya didakwa di mahkamah.
Tindakan Undang-Undang
Sehubungan itu, saya kini sedang mendapatkan pandangan serta nasihat guaman berhubung tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan mengambil tindakan sivil dan apa-apa tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pihak SPRM.
Saya juga dengan rendah diri merayu kepada Yang Arif Tan Sri Peguam Negara agar melihat perkara ini secara adil dan menyeluruh supaya saya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu.
Saya percaya masyarakat berhak mengetahui fakta sebenar dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah. Apa yang saya tuntut hanyalah keadilan, ketelusan dan proses yang adil.





