Sebar kandungan disyaki palsu, MCMC panggil individu bantu siasatan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung penyebaran kandungan yang disyaki palsu melalui platform media sosial Facebook dengan mengaitkan dua insiden berasingan melibatkan kematian pelajar di Indonesia dan Malaysia.

MCMC dalam kenyataan berkata, hantaran yang dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu didapati mengaitkan kematian seorang pelajar lelaki warganegara Indonesia berusia tujuh (7) tahun, dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.

‘’Kandungan tersebut turut mengaitkan kedua-dua insiden berkenaan dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap sistem persekolahan di Malaysia,’’ kata MCMC.

Susulan itu, kata kenyataan tersebut,  MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan semalam bagi membantu siasatan.

‘’Satu unit telefon bimbit berserta kad SIM yang digunakan oleh suspek untuk memuat naik kandungan berkenaan telah disita bagi membantu siasatan,’’ kata MCMC.

Menurut MCMC, kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

‘’MCMC memandang serius penyebaran kandungan palsu yang bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan perasaan dan sensitiviti keluarga serta rakan mangsa, khususnya apabila melibatkan kehilangan nyawa,’’ kata kenyataan itu.

MCMC menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan fakta dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi kandungan, di samping menghormati sensitiviti pihak yang terkesan dan menggunakan platform media sosial secara beretika serta bertanggungjawab.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here