MCMC siasat dakwaan penyalahgunaan AI babitkan guru dan pelajar

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan serta menyebarkan gambar dan video berunsur seksual yang dikatakan membabitkan guru dan pelajar sebuah sekolah di Kedah.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, perbuatan menghasilkan atau menyebarkan kandungan sedemikian boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, lebih-lebih lagi apabila membabitkan kanak-kanak.

“Penyalahgunaan teknologi AI untuk tujuan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Penyedia perkhidmatan berlesen turut mempunyai tanggungjawab berkaitan perlindungan kanak-kanak berdasarkan Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” kata kenyataan tersebut.

MCMC berkata, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak pula, katanya,  hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Siasatan berhubung perkara itu turut memerlukan kerjasama beberapa agensi berkaitan, termasuk Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkenaan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula sebarang kandungan seksual yang membabitkan atau didakwa membabitkan kanak-kanak.

Menurut MCMC, tindakan menyebarkan kandungan berkenaan bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada mangsa, malah berpotensi mengganggu proses siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sewajarnya, kata suruhanjaya itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here