Belanjawan 2027: Mengimbangi kebajikan rakyat melalui pembangunan ekonomi mampan

BELANJAWAN 2027 mempunyai beberapa perkara positif, terutama dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, mengurangkan beban cukai bagi pembayar cukai tertentu, menaikkan gaji minimum dan meningkatkan ketelusan perbelanjaan kerajaan.

Bagaimanapun kata Pakar Bidang Kewangan dan Keusahawanan Asia e University (AeU) Prof Dato’ Dr Nik Maheran Nik Muhammad,  kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar dilihat pada jumlah wang yang diperuntukkan atau banyaknya bantuan yang diumumkan.

‘’Perkara yang lebih penting ialah sama ada rakyat benar-benar merasai perubahan dalam kehidupan mereka,’’ katanya ketika diminta mengulas pembentangan Bajet 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Dr Nik Maheran menggariskan empat perkara yang harus diberi perhatian iaitu:

Pertama, bantuan kepada B40, M40 dan T20 perlu mengambil kira keadaan sebenar setiap keluarga.

Golongan B40 memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, rumah dan pendidikan anak-anak.

Pada masa yang sama, golongan M40 juga berhadapan dengan tekanan kewangan, terutama mereka yang perlu membayar ansuran rumah, menanggung pendidikan anak-anak dan menjaga ibu bapa yang sudah berusia.

Oleh itu, bantuan kerajaan tidak seharusnya bergantung pada jumlah pendapatan semata-mata. Bilangan tanggungan dan kos sara hidup juga perlu diambil kira supaya bantuan dapat diberikan dengan lebih adil.

Bagi golongan T20 pula, sistem cukai yang munasabah dan penggunaan wang kerajaan secara telus penting untuk memastikan semua pihak menyumbang mengikut kemampuan.

Kedua, kerajaan perlu membantu rakyat meningkatkan pendapatan, bukan sekadar memberikan bantuan.

Bantuan tunai memang penting, tetapi kesannya mungkin hanya sementara jika harga barang dan perbelanjaan harian terus meningkat. Penyelesaian jangka panjang ialah mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang baik, menawarkan gaji yang lebih setimpal dan membantu rakyat meningkatkan kemahiran.

Kerajaan juga perlu menarik pelaburan yang bukan sahaja membawa masuk wang ke negara, tetapi turut menyediakan pekerjaan berkualiti, memajukan teknologi dan membuka peluang kepada syarikat tempatan.

Ketiga, pembangunan negara mesti memberi manfaat kepada rakyat secara langsung.

Pelaburan dalam teknologi, industri moden, ekonomi digital, pertanian dan infrastruktur perlu membawa hasil yang boleh dirasai oleh rakyat. Antaranya ialah peluang pekerjaan baharu, pendapatan yang lebih baik, perniagaan tempatan yang berkembang dan kos pengangkutan serta perkhidmatan yang lebih rendah.

Kejayaan pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang diumumkan sahaja. Kita juga perlu melihat berapa banyak pekerjaan yang benar-benar diwujudkan, berapa baik gaji yang ditawarkan dan sejauh mana perniagaan tempatan mendapat manfaat.

Keempat, setiap ringgit wang kerajaan mesti memberikan manfaat yang jelas.

Kerajaan perlu memastikan wang yang dibelanjakan benar-benar membantu rakyat dan pembangunan negara. Projek yang dilaksanakan perlu dipantau supaya tidak berlaku pembaziran, kelewatan atau perbelanjaan yang tidak memberikan pulangan yang sewajarnya.

Pada masa yang sama, pembangunan ekonomi perlu membantu kerajaan meningkatkan hasil negara melalui pertumbuhan perniagaan, pekerjaan dan aktiviti ekonomi. Dengan hasil yang lebih kukuh, kerajaan mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk membiayai pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kesimpulannya, kata Dr. Nik Maheran,  beliau melihat Belanjawan 2027 sebagai satu usaha yang perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar kepada rakyat.

‘’Bantuan kepada golongan yang memerlukan perlu diteruskan, tetapi pada masa yang sama kita perlu membina ekonomi yang membolehkan rakyat memperoleh pendapatan lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih stabil,’’ katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar apabila kerajaan berjaya membelanjakan wang atau mengumumkan pelbagai bantuan.

‘’Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat mempunyai pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang mencukupi, kos hidup yang lebih terkawal dan peluang yang lebih luas untuk memperbaiki kehidupan mereka.

‘’Akhirnya, kita mahu pembangunan negara bukan sahaja menjadikan ekonomi lebih besar, tetapi memastikan manfaat pertumbuhan itu dapat dirasai oleh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here