PENGGUNA jalan raya yang melalui Jalan Gua Musang-Kota Bharu perlu menggunakan laluan alternatif selepas sebahagian Laluan Persekutuan FT08 berhampiran Taman Rekreasi Kesedar ditutup susulan kejadian lubang benam pagi tadi.
Kejadian pada jam 9.05 pagi itu membabitkan kawasan sepanjang kira-kira sembilan meter di Seksyen 205.556 hingga 205.564, dengan kedalaman lubang dianggarkan lapan meter.
Penutupan berkenaan melibatkan jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C, berikutan faktor keselamatan sementara tindakan lanjut dilaksanakan.
Menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dan Roadcare (M) Sdn Bhd, semua kenderaan tidak dibenarkan melalui laluan terbabit bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Sebagai alternatif, pengguna boleh menggunakan FT2747 melalui Jalan Pulai ke Bandar Baharu Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.





