TINDAKAN seorang buruh ladang sawit menyimpan selaras senapang buatan sendiri dan tujuh butir peluru tanpa lesen membawa padah apabila Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta enam sebatan.
Tertuduh, Mohd. Rosdi Mohd. Paharudin, 36, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Kampung Kuala Betis, Gua Musang, jam 5 petang pada 27 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tujuh butir peluru 12 bore tanpa lesen yang sah di rumah sama jam 7 pagi pada tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.
Terdahulu, Muhammad Shahril memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan memiliki senjata api secara menyalahi undang-undang adalah serius dan membahayakan keselamatan awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan memiliki senapang buatan sendiri serta penjara dua tahun bagi pertuduhan memiliki peluru.
Hakim turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Jun lalu.






