AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 83,000 kilogram lemak haiwan bernilai RM310,606.26 yang disyaki diimport dari Mongolia tanpa permit di Pelabuhan Pasir Gudang, semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, sitaan konsainan komoditi pertanian itu dilakukan hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati barangan berkenaan yang dibawa dalam empat beg tangki fleksibel tidak mempunyai permit import seperti ditetapkan mengikut peraturan semasa.
“Justeru, semua barangan dagangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu, hari ini.
AKPS berkata, tindakan mengimport barangan tanpa dokumen sah di pintu masuk negara merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.





