SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di Pantai Sepat, Jalan Kuantan-Pekan, Kuantan, hari ini.
Mangsa, Mohamad Raiyan Khairul Anuar, ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.56 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan bergegas ke lokasi sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat di pesisir pantai.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membuat selaman pertama di lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.





