Belanjawan 2027: Komitmen Kerajaan MADANI terhadap pendidikan tinggi, Kebajikan Rakyat

Oleh Profesor Dr Suriyani Muhamad

BELANJAWAN MADANI Kelima yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sektor pendidikan tinggi negara.

Dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, belanjawan bernilai RM510 bilion ini menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat secara menyeluruh, khususnya golongan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

PTPTN: Meringankan beban peminjam

Salah satu pengumuman signifikan yang menyentuh rakyat adalah berkaitan kemudahan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

 Bagi peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, bayaran balik minimum dikenakan hanya RM50 sebulan.

Langkah ini memberi kelegaan kepada lebih 400 ribu peminjam PTPTN yang baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan atau memulakan kerjaya dengan pendapatan sederhana.

 Dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, penangguhan ini membolehkan golongan muda memberi tumpuan kepada pembinaan kerjaya tanpa dibebani hutang pendidikan.

Kerajaan turut mengumumkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur. Galakan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja juga diperkenalkan, meliputi bayaran dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Penginapan mahasiswa: Menyelesaikan isu Kronik

Isu penginapan mahasiswa yang sering menjadi keluhan di IPTA termasuk Universiti Malaysia Terengganu akhirnya mendapat perhatian serius kerajaan. Kerajaan akan bekerjasama dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk mempercepat pelaksanaan projek penginapan mahasiswa.

Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya dijadual siap pada 2031, yang akan memanfaatkan 10 ribu mahasiswa. Selain itu, KWAP akan melabur RM750 juta bagi projek Vista Kampus, iaitu pembinaan kediaman siswa di enam universiti terpilih termasuk UniSZA dan UiTM.

Saya percaya, penyediaan penginapan dan fasiliti yang selesa mampu meningkatkan kualiti hidup pelajar, malah menyumbang kepada kecemerlangan akademik. Pelajar yang mempunyai tempat tinggal stabil dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa risau tentang kos sewa yang tinggi.

Dapur Siswa MADANI: Memastikan tiada pelajar kelaparan

Program Dapur Siswa MADANI akan diperluas ke politeknik dan institut pendidikan guru dengan peruntukan RM20 juta. Ikhtiar ini menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga hanya RM5.

 Dalam konteks kenaikan kos makanan yang membimbangkan, inisiatif ini memastikan mahasiswa tidak terpaksa memilih antara membeli makanan atau bahan pembelajaran. Potongan cukai turut diberikan kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi tujuan ini mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030, menggalakkan penyertaan sektor korporat dan orang ramai.

Di UMT, kami menyediakan bantuan makanan melalui Inisitif Dapur Siswa Madani kepada pelajar menggunakan peruntukan kerajaan Madani bagi memastikan pelajar yang berkeperluan terutamanya B40 tidak kelaparan.

Flysiswa MADANI dan Biasiswa JPA: Membantu pelajar Sabah dan Sarawak

Bantuan Tiket Penerbangan Flysiswa MADANI 2027 ditingkatkan kepada RM500 berbanding RM400, memanfaatkan lebih 60,000 penuntut IPTA. Pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menanggung kos perjalanan tinggi pulang ke kampung halaman terus terbela.

Kerajaan juga bersetuju menggandakan tawaran tajaan JPA kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membolehkan 4,200 pelajar dari kedua negeri melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun. Langkah ini mengimbangi akses pendidikan tinggi antara wilayah dan menggalakkan lebih ramai bakat dari Borneo menyumbang kepada pembangunan negara.

Belanjawan MADANI Kelima 2027 membuktikan bahawa kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi makro, tetapi turut memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat, khususnya golongan pelajar.

Peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, penambahan RM800 juta untuk prasarana kampus, serta pelbagai inisiatif kebajikan mahasiswa menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Pelaburan dalam pendidikan tinggi bukanlah perbelanjaan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara. Dengan sokongan menyeluruh ini, diharapkan lebih ramai anak muda Malaysia dapat menggapai cita-cita tanpa terbeban masalah kewangan, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran negara pada masa hadapan.

*Profesor Dr Suriyani Muhamad adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here