![]()
KERJASAMA politik antara Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan positif selepas sebahagian besar dasar rundingan kedua-dua parti itu sudah dipersetujui.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan kini tertumpu kepada beberapa perkara yang masih belum dimuktamadkan, termasuk pembahagian kerusi dan pemilihan calon.
“Perundingannya sebahagian besar pada dasarnya sudah dicapai, adapun jumlah kerusi masih dalam perbincangan lagi. Calon-calon akan dibincang lagi, Insya-Allah, nama-nama calon akan dikumpulkan untuk diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak. Yang menentukan calon ini akhirnya ialah Pas Pusat,” katanya lapor harakahdaily.
Abdul Hadi berkata, Pas mahu membentuk gabungan bersama UMNO dan rakan politik masing-masing, selain bertekad menentang Pakatan Harapan (PH).
“Pada dasarnya, kita mahu Melaka dikuasai oleh Pas dan UMNO serta gabungannya, kita tolak PH. Pasti kalahkan PH,” katanya.
Ditanya sama ada Pas akan bertanding secara solo sekiranya rundingan dengan Barisan Nasional (BN) tidak mencapai kata sepakat, beliau berpandangan perkembangan semasa menunjukkan persetujuan besar sudah dicapai.
“Nampaknya persetujuan besar sudah dicapai. Maknanya, positiflah,” katanya yang juga yang juga Ahli Parlimen Marang.
Pada 22 September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober pada manakala tarikh mengundi awal pada 10 November.





