BELANJAWAN MADANI 2027 dirangka bagi meningkatkan keselesaan hidup dan menjamin keadilan sosial untuk semua lapisan masyarakat, termasuk pekerja gig, penghantar makanan serta golongan rentan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan belanjawan bukan hanya tertumpu kepada sektor strategik dan angka pembangunan, sebaliknya turut mengambil kira keperluan harian rakyat.
“Dalam apa pun perancangan, akhirnya adalah (bagi) menjamin keselesaan hidup rakyat… kita mahu satu sistem yang dapat menjamin keadaan yang selesa dan adil buat semua,” katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027, yang disiarkan di RTM hari ini, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, belanjawan berkenaan bukan penyelesaian kepada semua masalah, namun menjadi antara usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian kepada cabaran di luar bandar, khususnya pesawah dan nelayan yang masih berdepan kekangan pendapatan serta akses kepada kemudahan tertentu.
“Di bandar, kita tidak ada sawah padi tetapi kita tahu rakyat di kawasan sawah padi masih menghadapi masalah (dan) nelayan pantai pula ada yang tidak mempunyai lesen… untuk memberikan lesen, kita perlu melihat keadaan sumber ikan yang terbatas,” kata beliau.
Katanya, pendekatan seimbang penting supaya golongan berkenaan mempunyai ruang untuk meneruskan kehidupan tanpa menjejaskan sumber pendapatan jangka panjang.
Anwar berkata, Kerangka Ekonomi MADANI akan terus menggabungkan pembangunan berimpak tinggi dengan keperluan asas rakyat, selaras tema Belanjawan 2027, iaitu “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Menurutnya, kemajuan ekonomi negara perlu dinilai bukan sahaja melalui pencapaian makro, malah berdasarkan manfaat yang dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mendengar pandangan masyarakat bagi memastikan dasar dan peruntukan yang dirangka memenuhi keperluan semasa.
Semalam, Anwar membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain pelaburan RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion melalui pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Keseluruhan nilai Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion, meneruskan dasar fiskal mengembang bagi menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada manfaat nyata kepada rakyat.





