Siasatan dakwaan KP AKPS mengasari polis diteruskan – Saifuddin Nasution

SIASATAN berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis diteruskan bagi melengkapkan beberapa aspek sebelum tindakan lanjut diputuskan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, kertas siasatan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini sudah dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kertas siasatan itu mengandungi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di Kulim, lapor Buletin TV3.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, beberapa aspek siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa perkara relevan lain yang berbangkit daripada siasatan.


IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here