Anwar kecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Lapangan Terbang Riyadh

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, yang mengorbankan orang awam tidak berdosa dan mencederakan ratusan yang lain.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa  terkorban serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.

“Tiada sebarang alasan yang boleh membenarkan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam. Tindakan membahayakan nyawa orang tidak bersalah hanya akan menambahkan penderitaan akibat konflik ini dan membawa kemusnahannya ke tempat yang sepatutnya kekal terlindung daripadanya,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dan rakyatnya ketika negara itu berdepan konflik berkenaan, selain berharap usaha diplomatik dapat mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.

“Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya pada saat yang penuh bahaya ini. Kami terus berharap agar diplomasi dan kewarasan akan mengatasi keadaan sebelum konflik ini merebak dengan lebih meluas,” katanya.

Dalam kenyataan pada Ahad, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan seramai 12 orang terbunuh manakala 309 lagi cedera dalam serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada Sabtu.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here