‘’Belanjawan Bertaring’ cerminkan keberanian PM utamakan pembangunan manusia, pengukuhan institusi – Naib Canselor UUM

BELANJAWAN 2027 disifatkan sebagai “Belanjawan Bertaring”, yang mencerminkan keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan pembangunan manusia dan pengukuhan institusi, dengan pendidikan sebagai instrumen utama transformasi negara.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata kekuatan belanjawan itu bukan hanya pada jumlah peruntukan, tetapi juga pada keupayaan kerajaan menetapkan keutamaan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.

Beliau berkata dalam menghadapi perubahan pesat akibat kecerdasan buatan, automasi, persaingan bakat dan perubahan struktur pekerjaan, kualiti modal insan, kecekapan institusi serta sistem pendidikan yang responsif menjadi faktor penting dalam menentukan daya saing negara.

Ahmad Martadha berkata Kementerian Pendidikan kekal sebagai penerima peruntukan tertinggi dengan hampir RM69 bilion, meningkat daripada RM66.2 bilion, manakala peruntukan membaik pulih dan menyelenggara sekolah digandakan kepada RM2 bilion daripada RM1 bilion.

Selain itu, hampir RM1.3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, manakala Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 bagi setiap murid, berbanding RM150 sebelum ini, melibatkan 5.3 juta murid.

“Ini penting kerana soal pendidikan bukan hanya tentang kurikulum. Keadaan fizikal sekolah, akses kepada kemudahan, persekitaran pembelajaran dan jurang antara wilayah turut menentukan peluang seseorang anak untuk berjaya. Dalam bahasa pembangunan, ini ialah soal kesaksamaan peluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, termasuk RM800 juta untuk menambah baik kemudahan universiti, turut mencerminkan kematangan pemikiran pengurusan kerana menggalakkan universiti membina ekosistem pembiayaan yang lebih pelbagai melalui endowmen, alumni, industri, penyelidikan berimpak dan kerjasama strategik.

Pada masa sama, langkah membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan rendah melalui penangguhan atau pengurangan bayaran balik, selain bantuan kebajikan mahasiswa, menunjukkan bahawa akses dan kesejahteraan pelajar terus diberi perhatian.

Ahmad Martadha berkata peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta RM3 bilion melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menyediakan tiga juta peluang latihan turut memperlihatkan pembangunan bakat kini menjadi agenda ekonomi nasional.

“Perkara itu juga mencerminkan keberanian Perdana Menteri dalam membawa negara keluar daripada pemikiran lama bahawa universiti hanya perlu menghasilkan graduan, sebaliknya mesti menghasilkan bakat. Kita tidak boleh menghasilkan graduan berdasarkan struktur ekonomi semalam untuk memasuki ekonomi hari esok,” katanya.

Beliau berkata usaha menyediakan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi yang merangkumi autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa penting bagi memperkukuh institusi, manakala penglibatan universiti dan institusi TVET dalam program Komuniti Angkat MADANI dapat memperluas manfaat ilmu kepada masyarakat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here