Ismail dijangka kekal MB meskipun kemelut politik berlarutan

KEDUDUKAN Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dijangka tidak berubah meskipun beliau sebelum ini dikaitkan dengan usaha meletakkan jawatan bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut politik negeri itu.

Sumber memaklumkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu akan terus menerajui kerajaan negeri selepas perkembangan terbaharu menyusul pertemuan beliau dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di Seremban petang tadi.

“Ya, saya dimaklumkan Datuk Mail (Ismail) kekal sebagai Menteri Besar,” kata sumber itu malam ini, lapor BH.

Perkembangan berkenaan memberi gambaran bahawa kedudukan Ismail tidak terjejas walaupun krisis politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan sebelum ini turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan kepimpinannya.

Tuanku Muhriz turut menerima menghadap delegasi UMNO diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas pertemuan dengan Ismail.

Ahmad Zahid ketika ditemui media petang tadi memaklumkan, pihaknya menyerahkan kepada pihak istana untuk memaklumkan keputusan yang dicapai berhubung kemelut berkenaan.

“Tuanku akan membuat keputusan dan kita serahkan kepada pihak istana yang akan mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai,” kata Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, setakat ini pihak istana belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan Menteri Besar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here