TIADA wang simpanan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) digunakan bagi membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peruntukan bagi caruman itu 100 peratus daripada peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH yang bertindak sebagai pengurus pelaksanaan.
“Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujud penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata langkah kerajaan menanggung sepenuhnya caruman itu sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti petugas agama selain memastikan kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
Kumpulan penerima manfaat itu merangkumi imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir yang berkhidmat dalam komuniti Islam di seluruh negara.
Zulkifli berkata kerajaan kekal komited memastikan pengurusan amanah TH dilaksanakan secara berintegriti dan tadbir urus korporat yang telus berteraskan prinsip Syariah.
Beliau berkata usaha memartabatkan kebajikan petugas masjid dan guru takmir akan diteruskan tanpa kompromi bagi memastikan institusi agama dan pembangunan ummah di Malaysia terus terpelihara.





