Jangan kerana politik, ayat al-Quran dipermainkan – ABIM

ANGKATAN  Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam komen Eric See-To yang mengaitkan perkataan “lighad” dengan “liwat” sebagai sindiran politik terhadap Perdana Menteri. Keghairahan menyerang lawan politik tidak boleh menjadi alasan untuk mempermainkan ungkapan daripada ayat suci al-Quran.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri membacakan ayat 18 Surah al-Hashr dan menghuraikan ungkapan “lighad”, yakni “untuk hari esok”.

‘’Konteks inilah yang menjadi asas teguran ABIM terhadap sindiran berkonotasi seksual tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Eric See-To

Beliau berkata, ABIM mengambil maklum penjelasan Eric See-To bahawa beliau mengulas laporan media dan tidak berniat menghina al-Quran, serta dakwaannya bahawa petikan ayat pada tangkap layar yang tular ditambah oleh pihak lain.

‘’Teguran kami tertumpu pada komen beliau sendiri. Setelah sumber dan konteks ungkapan itu dijelaskan, alasan tidak memahaminya tidak menghapuskan tanggungjawab untuk membetulkan kesilapan.

‘’Teguran kami jelas: Jika tidak memahami al-Quran, bertanyalah dan pelajarilah. Jangan jadikan kitab suci umat Islam sebagai bahan ejekan politik. Apabila kesilapan telah ditunjukkan, adab menuntut keberanian untuk mengakuinya dan membetulkannya,’’ tegasnya.

Sebelum ini kata beliau, kenyataan Eric See-To mengenai istito’ah dalam ibadah haji turut menimbulkan persoalan tentang penghormatan terhadap prinsip agama.

‘’ Dasar kerajaan dan pengurusan haji boleh dikritik, tetapi prinsip istito’ah tidak wajar dijadikan bahan sindiran politik. Hak mengkritik pemimpin mesti disertai tanggungjawab menjaga kehormatan agama. Pendirian ini terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau kecenderungan politik,’’ katanya.

Sehubungan itu Ahmad Fahmi menggesa Eric See-To menarik balik komen berkenaan dan memohon maaf secara terbuka.

‘’Kami turut menyeru masyarakat menyatakan bantahan dengan tegas dan beradab, tanpa cercaan kaum atau kebencian antara agama,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here