JAIS siasat tular individu Islam lakukan ritual agama lain

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat hantaran tular berhubung tindakan individu yang dipercayai beragama Islam dan melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak dan menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Setakat ini, JAIS belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan itu dilakukan individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti yang ditularkan. Kami juga tidak menolak kebarangkalian hantaran itu melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Mohd Shahzihan berkata beberapa fakta kes termasuk lokasi kejadian akan disiasat pihaknya secara lebih teliti dan kadar segera.

“Hal ini bagi mengenal pasti bidang kuasa JAIS untuk mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dipandang serius dan setiap maklumat atau aduan akan disiasat dengan tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat serta adil,” katanya.

Semalam, media melaporkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil tindakan bersama dengan pihak berkuasa berhubung penularan beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata pihaknya mengambil maklum rakaman berkenaan yang turut dikaitkan dengan perlakuan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here