SEBUAH bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabas sebelum merempuh pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa, Pasir Puteh, kira-kira jam 4.40 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar, berkata kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.
Menurutnya, terdapat empat lelaki dalam bas berkenaan, terdiri daripada seorang pemandu dan tiga penumpang.
“Manakala penumpang lain sudah keluar dari dalam bas dan menuju ke destinasi masing-masing. Kesemua penumpang dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Kejadian itu merupakan insiden kedua dalam tempoh tiga bulan membabitkan sekolah berkenaan.
Pada 5 Julai lalu, dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh surau di kawasan SK Bukit Jawa.





