AHLI Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kechau Tui, Lipis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika SUV berkenaan dipandu anak perempuan mangsa yang berusia 26 tahun.
Menurutnya, kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja ketika kemalangan berlaku.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu SUV berkenaan hilang kawalan sebelum kenderaan itu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang iaitu Ahli Parlimen Rantau Panjang mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Siti Zailah kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala kes berkenaan masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Ismail meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik,” katanya.





