Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai jurujual karpet dan langsir itu memandu Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, Muhammad Afiq Izzat Mohd Rosidi, menunggang motosikal dari arah Jalan Mawar menghala ke Jalan Darul Aman Lagenda.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketika mangsa bergerak lurus di lorong tengah, pemandu berkenaan yang datang dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba sehingga memasuki laluan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa tidak sempat membrek atau mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum motosikalnya melanggar pintu hadapan kiri kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





