JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkukuh penguatkuasaan di Janda Baik, Bentong, susulan kebimbangan penduduk berhubung kehadiran dan penglibatan warga asing dalam kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Jabatan Imigresen Negeri Pahang telah melaksanakan operasi di lapan lokasi di Janda Baik pada 24 April lalu.
Menurutnya, operasi itu membawa kepada pemeriksaan terhadap 82 individu, dengan 38 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Usaha ini akan diteruskan melalui peningkatan pemantauan, risikan dan operasi penguatkuasaan berdasarkan maklumat serta aduan yang diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JIM memaklumkan, kehadiran warga asing di Janda Baik turut dipengaruhi peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi setempat, khususnya sektor pelancongan yang melibatkan resort, chalet serta premis penginapan, selain pertanian dan perniagaan.
Bagaimanapun, keadaan itu berpotensi membuka ruang kepada penggajian warga asing secara tidak sah serta penyediaan penempatan yang melanggar undang-undang imigresen.
Sehubungan itu, penguatkuasaan akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), tetapi juga majikan, pemilik atau pengendali premis serta pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis di bawah kawalan mereka.
Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 55B dan Seksyen 55E.
JIM turut memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan melalui perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Dalam pada itu, JIM menghargai kerjasama penduduk setempat dan persatuan penduduk dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.
JIM berkata, maklumat tepat dapat membantu pihaknya membuat pengesahan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa orang awam perlu mendedahkan diri kepada sebarang risiko.





