PEMANDU lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.
Lelaki berusia 51 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah mengesahkan tempoh reman itu ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Terdahulu, Sarudin memaklumkan pemandu berkenaan disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian saringan yang dijalankan.
Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu berlaku apabila lori dipandu lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 11 kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.
Siasatan awal mendapati pemandu mendakwa lori berkenaan mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Kejadian itu mengakibatkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang parah dan menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam.





