Mufti tegur isu gotong-royong rumah ibadat, umat Islam perlu jaga batas

UMAT Islam diingatkan supaya memastikan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan tidak melangkaui batas akidah, khususnya apabila membabitkan kerja pembersihan rumah ibadat bukan Islam yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ritual keagamaan.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, hukum berhubung perkara itu perlu dinilai berdasarkan jenis kerja yang dilakukan, terutama sama ada aktiviti berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan penyediaan atau penyelenggaraan keperluan ibadat agama lain.

PROF Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman

Menurut beliau, kerja seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khas untuk upacara keagamaan termasuk dalam kategori yang perlu dielakkan oleh umat Islam.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang membawa maksud larangan membantu dalam perkara dosa dan pencerobohan.

“Justeru, umat Islam dilarang terbabit dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kuil atau rumah ibadat agama lain apabila pekerjaan itu adalah bantuan langsung kepada penyelenggaraan tempat ibadat mereka,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Mohd Sukki menjelaskan bahawa batasan berkenaan tidak bermaksud umat Islam dilarang bekerjasama dengan masyarakat bukan Islam dalam urusan kebajikan, kemanusiaan dan keselamatan.

Sebaliknya, beliau berkata, aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat umum seperti membersihkan longkang awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan, membantu mangsa banjir dan membersihkan laluan awam pada asasnya dibenarkan selagi tidak melibatkan penyertaan dalam ritual keagamaan atau membantu pelaksanaannya secara langsung.

Beliau mengulas isu video yang tular dalam media sosial memaparkan sekumpulan individu termasuk pekerja Islam sebiah hotel menyertai aktiviti mencuci sebuah rumah ibadat bukan Islam di Georgetown.

Berdasarkan hantaran yang dikongsikan di Facebook, aktiviti berkenaan dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mengulas isu itu, Mohd Sukki menegaskan bahawa usaha memelihara akidah tidak seharusnya disalahertikan sebagai tindakan memusuhi penganut agama lain.

Katanya, Islam tetap mengajar umatnya supaya menghormati hak masyarakat berlainan agama serta tidak melakukan penghinaan, permusuhan atau kezaliman terhadap mereka.

“Menghormati agama lain tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mengambil bahagian dalam urusan keagamaan mereka,” katanya.

Beliau turut merujuk surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”, sebagai penegasan terhadap prinsip menjaga pegangan akidah dan ibadat masing-masing dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian agama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan badan sukarela supaya mengambil kira sensitiviti agama ketika merancang program gotong-royong atau aktiviti yang membabitkan masyarakat pelbagai kepercayaan.

Menurutnya, usaha memperkukuh perpaduan boleh dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan lain, termasuk membersihkan kawasan perumahan, taman awam, sekolah dan kawasan rekreasi, selain menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira agama atau bangsa.

Beliau berkata, perpaduan dalam masyarakat majmuk perlu dibina berasaskan sikap saling menghormati pegangan masing-masing, tanpa mencampuradukkan urusan ibadat dan akidah.

“Islam mengajar kita menghormati penganut agama lain, tetapi penghormatan itu tidak boleh sampai mengaburi batas akidah dan syariat,” tegasnya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here