Fahmi sokong penerbitan mini siri ‘Sumud Protocol’

KEMENTERIAN Komunikasi akan bekerjasama bagi merealisasikan penerbitan siri televisyen Sumud Protocol sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai perjuangan rakyat Palestin.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan membantu memastikan naskhah berkenaan dapat dikembangkan menjadi sebuah siri mini untuk ditayangkan selepas proses penerbitan selesai.

Beliau berkata, usaha itu antara bentuk sokongan terhadap gerakan Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.

“Saya amat menyokong usaha Datuk Sani dan pasukan yang akan menerbitkan satu program, satu siri televisyen yang diberi nama Sumud Protocol.

“Kita akan bekerjasama untuk memastikan naskhah itu dapat diterbitkan menjadi sebuah siri mini dan akan ditayangkan, insya-Allah, setelah siap,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi, malam ini.

Fahmi berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis itu turut memberikan isyarat jelas bahawa sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar retorik politik atau perbincangan diplomatik.

Sebaliknya, katanya, sokongan itu turut diterjemahkan menerusi gerakan dan inisiatif seperti Global Sumud Flotilla.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi bersama beberapa menteri lain akan terus menyokong usaha berkenaan, termasuk membantu dari aspek komunikasi dan media sosial.

Katanya, kementerian juga bersedia bekerjasama dengan pihak Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla bagi menjayakan perancangan mereka pada masa akan datang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here