WARTAWAN Asia Times, Adam Kong Jeng Li menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM selepas Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menziarahinya di Labuan hari ini.
Adam, 38, yang dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanan, menggunakan kaki palsu sejak berusia lapan tahun dan kini memerlukan alat baharu selepas kaki palsu yang digunakan lebih tujuh tahun mula mengalami kerosakan.
Beliau yang menyertai Asia Times sejak 2023 berdepan kesukaran untuk bergerak dengan selesa, termasuk ketika menjalankan tugasan kewartawanan di lapangan berikutan keadaan kaki palsu berkenaan yang semakin uzur.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama, Shukri Ishak.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan sebahagian daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang menerima sumbangan melalui dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM).
Sejak diperkenalkan pada Jun 2026, seramai 90 pengamal media telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM.
Sementara itu, Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sejak April 2023 telah membantu seramai 860 pengamal media di seluruh negara.





