Pelbagai urusan kerajaan kini di hujung jari menerusi MyGOV Malaysia – Fahmi

RAKYAT kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi satu aplikasi selepas MyGOV Malaysia menggabungkan sejumlah kemudahan awam dalam satu platform digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, aplikasi berkenaan diwujudkan bagi memudahkan rakyat menguruskan pelbagai keperluan tanpa perlu beralih antara portal atau aplikasi kerajaan yang berbeza.

Menurut beliau, antara perkhidmatan yang boleh diakses termasuk urusan lesen memandu, cukai jalan, semakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pasport, janji temu klinik kerajaan serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Tidak perlu lagi cari perkhidmatan kerajaan di merata tempat. Kita sudah kumpulkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi, supaya urusan rakyat menjadi lebih mudah dan lancar,” katanya menerusi hantaran video di media sosial hari ini.

Menurut Fahmi, MyGOV Malaysia turut membolehkan pengguna membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD), manakala perkhidmatan lain akan diintegrasikan secara berperingkat.

Aplikasi berkenaan juga dilengkapi ciri kecerdasan buatan (AI) menerusi fungsi ‘AI Chat’ yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan secara terus.

Katanya, pembangunan aplikasi itu selaras dengan usaha kerajaan memperluas penyampaian perkhidmatan awam secara digital dan memudahkan akses rakyat kepada kemudahan kerajaan.

“Objektif kita mudah, kita bawa seluruh perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat dalam satu aplikasi yang serba lengkap,” katanya.

Fahmi turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan berkenaan bagi memudahkan urusan harian dengan perkhidmatan kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here