TERDAPAT semakin banyak desakan antarabangsa agar Israel membebaskan Mohammed Zaher Taysir Ibrahim, seorang remaja Palestin-Amerika berusia 16 tahun yang ditahan sejak Februari lalu dalam keadaan penjara yang amat daif. Keluarganya memberi amaran bahawa nyawanya kini berada dalam bahaya.
Mohammed ialah warganegara Amerika Syarikat dan Palestin, dengan keluarganya berpangkalan di Florida dan Tebing Barat yang diduduki Israel.
Pada 15 Februari lalu, tentera Israel menyerbu rumah keluarganya ketika Mohammed sedang bercuti di Tebing Barat. Beliau ditangkap, tangan diikat, mata ditutup, dan dibawa ke kem tentera Ofer untuk disoal siasat.
Menurut pertubuhan Defense for Children International – Palestine (DCIP), Mohammed dipukul dengan hulu senjata ketika dibawa ke pusat tahanan.
Remaja itu kini ditahan di Penjara Ofer, selepas beberapa bulan dipindahkan dari Penjara Megiddo di utara Israel. Dalam temu bual bersama peguam DCIP pada September, Mohammed menggambarkan keadaan penjara yang sesak, kotor, dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata setiap bilik dihuni oleh lapan kanak-kanak, dengan sebahagian terpaksa tidur di lantai beralaskan tilam nipis. “Kami tidak mempunyai pemanas atau pendingin. Hanya tilam, selimut, dan satu naskhah al-Quran di setiap bilik,” katanya.
Mohammed turut menceritakan bagaimana mereka diberi makanan yang amat tidak mencukupi:
“Sarapan hanya tiga keping roti kecil dan sesudu labneh (yogurt). Makan tengah hari cuma separuh cawan nasi keras, sebiji sosej kecil dan tiga roti. Tiada makan malam, tiada buah-buahan.”
Katanya, sekali-sekala mereka menerima timun kecil atau tomato, dan sesudu jem setiap dua atau tiga hari. Teh pula hanyalah air panas tanpa gula.
Beliau menambah bahawa tahanan hanya dibenarkan keluar ke kawasan terbuka 40 minit sehari, dan hanya enam pancuran disediakan untuk berpuluh-puluh orang. Kekurangan kebersihan menyebabkan jangkitan kudis (scabies) merebak, manakala kekurangan makanan menyebabkan berat badannya turun mendadak.
Mohammed dituduh membaling batu ke arah kenderaan Israel, pertuduhan yang biasa dikenakan terhadap remaja Palestin. Jika sabit kesalahan, hukuman boleh mencecah 20 tahun penjara. Namun, beliau menafikan tuduhan tersebut.
Remaja itu menyambut ulang tahun ke-16 pada Mac lalu di dalam penjara Israel. Lebih 100 organisasi hak asasi manusia termasuk CAIR, IfNotNow, dan Pax Christi USA telah menulis surat kepada Setiausaha Negara Marco Rubio menuntut pembebasannya.
“Israel telah menahan seorang kanak-kanak Amerika tanpa perbicaraan selama enam bulan. Keluarganya hidup dalam mimpi ngeri tanpa dapat menghubunginya,” kata surat itu.
Ahli Kongres Kathy Castor, wakil kawasan kediaman keluarga Mohammed di Florida, turut menyeru pentadbiran Trump agar mengambil tindakan segera. “Saya menggesa kerajaan Amerika untuk melakukan segala yang perlu bagi membebaskan Mohammed Ibrahim -seorang kanak-kanak, warganegara Amerika dan anak Florida,” katanya.
Keluarganya berkata mereka berasa ditinggalkan oleh Kerajaan AS. “Di mana slogan ‘America First’ apabila anak Amerika berumur 16 tahun dipenjara oleh Israel?” kata bapanya.
Mohammed juga merupakan sepupu kepada Sayfollah Musallet, warganegara Amerika berusia 20 tahun yang dipukul hingga mati oleh peneroka Israel pada Julai di kampung Sinjil, Tebing Barat.
Peguamnya menjelaskan bahawa tekanan tambahan dari kedutaan AS boleh membantu pembebasan Mohammed pada tarikh perbicaraan 29 Oktober ini. Beliau mungkin dibebaskan dengan syarat tidak kembali ke Tebing Barat selama setahun.
Pengarah program akauntabiliti DCIP, Ayed Abu Eqtaish, berkata: Israel ialah satu-satunya negara di dunia yang mendakwa kanak-kanak di mahkamah tentera. Walaupun AS kononnya mempertahankan hak warganya, mereka tetap menghantar senjata kepada Israel tanpa sekatan.”
Di media sosial, ribuan aktivis kini melancarkan kempen dengan tanda pagar menuntut: #FreeMohammedIbrahim, menegaskan bahawa beliau hanyalah seorang “kanak-kanak Amerika” yang kini menderita di penjara Israel.
UNDILAH |