POLIS Indonesia menahan sebanyak 13 individu selepas video mengejutkan mengenai dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak kecil di sebuah pusat jagaan kanak-kanak tular di media sosial.
Rakaman video yang tular dalam media sosial itu mencetuskan kemarahan meluas dalam negara, kata pihak berkuasa semalam.

Polis pada Jumaat lalu menyerbu pusat jagaan Little Aresha di Yogyakarta, di pulau Jawa, susulan laporan daripada bekas pekerja.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar dalam media sosial menunjukkan kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah dua tahun, terbaring di lantai hanya memakai lampin, dengan tangan dan kaki mereka diikat menggunakan kain.
Polis mengesahkan rakaman tersebut adalah sahih dan turut menemukan 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik berukuran hanya tiga kali tiga meter.
“Setakat ini, 13 orang telah dinamakan sebagai ‘suspek’ dan ditahan dalam kes berkenaan, kata Ketua Polis Bandar, Eva Guna Pandia kepada media di Yogyakarta semalam.
Mereka yang ditahan termasuk 11 penjaga kanak-kanak, serta pengetua dan ketua yayasan yang mengendalikan pusat itu.
Mereka akan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk pengabaian kanak-kanak, dan pertuduhan lain mungkin ditambah sepanjang siasatan dijalankan.
Pandia berkata, suspek memberitahu polis bahawa sebahagian kanak-kanak diikat bagi mengelakkan mereka mengganggu kanak-kanak lain.
Mereka mendakwa pusat itu kekurangan kakitangan, dengan jumlah petugas tidak mencukupi untuk memandikan dan menjaga kanak-kanak, kata penyiasat Yogyakarta, Riski Adrian.
Pusat jagaan itu menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak, dengan lebih separuh dipercayai telah menjadi mangsa penganiayaan, menurut polis.
Bapa kepada salah seorang mangsa, Noorman Windarto, memberitahu media beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang ibu bapa lain pada Jumaat lalu yang memintanya segera mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun.
Beliau kemudian dimaklumkan polis bahawa anaknya, yang telah dihantar ke pusat itu sejak berusia tiga bulan, turut diikat.
“Isteri saya menangis. Kebanyakan mereka (penjaga) adalah wanita, dan tingkah laku mereka sangat lembut, bersuara sopan dan kelihatan seperti beragama. Hati saya hancur,” kata penjawat awam berusia 42 tahun itu.
Noorman membayar sekitar 1.1 juta rupiah (kira-kira RM253) bagi setiap anaknya untuk ditempatkan di pusat itu yang kini ditutup, iaitu separuh daripada gaji minimum di Yogyakarta.
Anak sulungnya, seorang perempuan berusia enam tahun, baru-baru ini berhenti menghadiri pusat tersebut. Kanak-kanak itu kadangkala pulang dengan lebam, yang didakwa pihak pusat berpunca daripada bermain, katanya.
Anak lelakinya pula beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat pneumonia, yang kini disyaki mungkin berpunca daripada keadaan tidur di lantai sejuk tanpa pakaian.
“Saya sangat marah, sangat berang,” kata Noorman. “Mereka mesti dihukum seberat-beratnya.”
Di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, semua suspek berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga 100 juta rupiah (RM22,905).


