Pengerusi badan berkanun didakwa terima rasuah lebih RM800,000

SEORANG pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.

Tertuduh, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Shaik Hussein dituduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) dalam beberapa transaksi, dengan suapan bernilai antara RM45.51 hingga RM244,620 daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH) Datuk R Albert Suresh.

Wang itu didakwa diterima sebagai upah melantik ATSH menjadi subkontraktor kepada AISB bagi menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang bernilai RM23,268,215.35.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda di Bukit Mertajam antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026, lapor Bernama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lim Jin Hong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Tertuduh diwakili tujuh peguam diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad bersama Datuk Hasnal Rezua Merican, Mohd Shahrullah Khan, Simon Tan, Dr Shamsher Singh Thind, Muzzammil Merican serta Intan Nur Alia Nodzri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh untuk memohon mendapatkan semula pasport bagi tempoh dan tujuan tertentu, sekiranya terdapat keperluan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here